Monday, December 19, 2011

Pertandingan Memancing Ikan Toman

Pertandingan Memancing Ikan Toman

KUALA LUMPUR - Ketangkasan Jamaluddin Saidin, 48, menjinakkan seekor ikan toman seberat 9.1 kilogram membuahkan hasil apabila beliau berjaya menjuarai Karnival Memancing Zoo Negara anjuran Celcom (M) Berhad di sini semalam.

Jamaluddin menggunakan sepenuh tenaga dan pengalaman 20 tahun memancing ikan untuk 'bertarung' dengan ikan itu selama kira-kira 10 minit sebelum ia mengalah dan berjaya dinaikkan.

Kemenangan itu membolehkan Jamaluddin membawa pulang wang tunai RM2,000, peralatan memancing serta sebuah telefon bimbit.

"Nak menjinakkan (ikan) toman ini kena banyak bersabar. Lepas itu tarik tali pancing tak boleh kuat sangat. Senang cerita kena 'layan' ikan toman ini dulu,'' katanya.

Jamaluddin sebenarnya layak untuk membolot hadiah kedua dan ketiga selepas menjinakkan dua lagi ikan toman dengan berat 7.2 kilogram dan 7.4 kilogram.

Namun, pihak penganjur telah menetapkan peraturan untuk mengira ikan toman paling berat bagi setiap peserta.

Ia membolehkan tempat kedua dimenangi oleh Shamsuddin Kasdi, 46, dengan toman seberat 7.1 kilogram manakala tempat ketika oleh Ayub Kazali, 34, yang menjinakkan ikan toman seberat tujuh kilogram.

Masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM1,500 serta RM1,000, peralatan memancing dan telefon bimbit.

Kesemua ikan yang dipancing kemudian diserahkan kepada pengurusan Zoo Negara untuk dilepaskan semula.

No comments:

Post a Comment